PN Pahang bergolak, pertukaran pengerusi dedah krisis dalaman makin parah – AMK Pahang

PETALING JAYA: Pertukaran jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang disifatkan sebagai tanda krisis dalaman yang semakin meruncing, selain memperlihatkan perebutan kuasa dan perbalahan antara pemimpin parti itu sendiri.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Ahmad Hyecal berkata bekas Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang digantikan oleh Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencerminkan pergolakan kepimpinan dan arah politik yang semakin tidak menentu.

“Kalau ini dianggap penyegaran kepimpinan, rakyat Pahang mungkin akan menyaksikan keadaan lebih kelam daripada sebelumnya,” katanya pada Sabtu.

Beliau turut menyindir slogan “Himpunan Hogoh Jelai” yang dilaungkan PN kononnya untuk menawan Pahang, sedangkan kawasan itu merupakan kubu kuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, pertukaran ini mungkin berpunca daripada ketegangan antara Saifuddin dan bekas rakan karibnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, selain usaha menambat semula hati PAS selepas hubungan kedua-dua parti dilihat semakin longgar.

Krisis kepimpinan PN dilihat bukan hanya berlaku di peringkat negeri, malah turut melanda peringkat pusat apabila pengaruh Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan semakin pudar dalam kalangan ahli parti dan wakil rakyat Bersatu.

“Pertukaran pengerusi ini bukan tanda kekuatan, tetapi tanda panik dan keretakan dalaman yang semakin jelas. PN yang gagal mengurus parti sendiri, jangan berangan mahu mentadbir negeri,” tegas Ahmad Hyecal.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat