Amirudin Mahu Pertahan Jawatan Naib Presiden, Tawar Gagasan ‘Reformasi Cita Bangsa’

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR bagi sesi 2025-2028 dengan tawaran gagasan baharu bertemakan Reformasi Cita Bangsa.

Dalam satu kenyataan, Amirudin berkata, pemilihan kali ini merupakan peluang penting untuk memperkukuh saf kepimpinan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), di samping menyusun kekuatan bagi mendukung kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk penggal kedua.

“Menginsafi matlamat serta agenda ini, saya menawarkan diri bagi mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR bagi tahun 2025-2028.

“Hasrat ini juga sejajar dengan prinsip untuk memperkukuh PKR sebagai parti politik unggul, paksi reformasi dan teras Kerajaan Perpaduan.

“Dengan tema kempen ‘Reformasi Cita Bangsa’, saya membawa gagasan yang sejajar tema ‘Bersama Membina Parti Kita’ oleh calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar,” katanya menerusi laman Facebook pada Sabtu.

Amirudin berkata, pihaknya juga ingin memperligat gerak jentera serta merapatkan saf anggota PKR di samping memperkuat hubungan bersama parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi menyusun langkah memenangi Pilihan Raya Umum ke-16.

“Insya-Allah, sepanjang kempen ini saya akan bentangkan gagasan Reformasi Cita Bangsa kepada seluruh anggota parti,” ujarnya.

Amirudin mengakhiri kenyataan dengan seruan rendah hati agar ahli parti memberikan sokongan dalam usaha meneruskan agenda Reformasi dan memperkukuh KEADILAN sebagai parti masa depan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat