AMK anggap Akmal Salleh salah ‘punching bag’

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat menolak sekeras-kerasnya kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh yang sehingga kini masih memetik Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai ‘punching bag’ atau pesalah dalam peristiwa enam Ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

Pengarah Komunikasinya, Haziq Azfar berkata, selama ini beliau sudah salah ‘punching bag’ malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah ‘punching bag’ yang sebenar dan bukannya Speaker Dewan Rakyat.

Menurutnya, keputusan yang diambil Speaker adalah berdasarkan undang-undang anti lompat parti yang lompong akibat ketidaksetujuan Bersatu dalam memasukkan peruntukan untuk mengosongkan kerusi bagi wakil rakyat yang melanggar arahan parti dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan tahun 2022.

“Apabila Speaker membuat keputusan, ia dibuat berdasarkan peruntukan Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan yang hanya membenarkan kerusi dikosongkan jika mereka meninggalkan parti secara sukarela, bukan melanggar arahan parti secara sukarela.

“Perlu diingatkan bahawa ini bukanlah keputusan yang boleh dibanggakan namun tindakan menyalahkan Speaker Dewan Rakyat adalah satu bentuk penganiayaan kepada institusi ini yang hanya menjalankan tugas berpandukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, kesediaan Perdana Menteri dalam menambah baik undang-undang ini juga disambut baik.

Katanya, kita belum mendengar beliau mengecam tindakan Bersatu iaitu pesalah sebenar yang telah menghuru-harakan undang-undang anti lompat parti yang ada di peringkat Persekutuan.

“Ini bukan berani kerana benar tetapi berani kerana salah,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat