KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat telah membuat dua laporan polis susulan video tular di TikTok yang memaparkan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan itu dibuat berikutan insiden semasa operasi pengosongan 37 unit rumah di Kampung Sungai Baru, yang berlangsung pada Khamis.
Ketua Penerangan AMK Wilayah Persekutuan, Mohammad Rais Hamda berkata, laporan berkenaan telah dikemukakan oleh AMK Kuala Lumpur dan AMK Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sekitar pukul 8 malam.
“Kami berharap kertas siasatan akan dibuka dan pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan.
Beliau berkata, anak muda mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk ugutan bunuh yang boleh mengancam keharmonian negara.
Turut hadir bersama beliau ialah Timbalan Ketua Penerangan AMK Selangor, Abdullah Zaid Abdullah Sani serta beberapa anggota AMK lain.
Video yang tular itu menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata ancaman terhadap Perdana Menteri, sambil mendakwa pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Nuzulan Mohd Din, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan tersebut dan memaklumkan bahawa kes akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.








