Krisis Kepimpinan BERSATU Semakin Memuncak – MP DAP

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini berdepan gelombang krisis dalaman yang semakin meruncing apabila presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan desakan segelintir ahli parti agar beliau berundur daripada jawatan tertinggi itu.

Ketegangan memuncak ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang berlangsung di Shah Alam pada Sabtu lalu, apabila beberapa perwakilan secara terbuka melaungkan “turun Tan Sri” sewaktu Muhyiddin menyampaikan ucapan dasar.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong berkata, suasana ketika itu menjadi kecoh dan turut mengesahkan kewujudan komplot dalaman yang sedang giat mengumpul tandatangan untuk menjatuhkan kepimpinan Muhyiddin.

Dalam ucapannya, Muhyiddin memberi amaran keras kepada pihak yang cuba menggugat kestabilan parti, sambil menyeru agar semua ahli menghentikan perpecahan dalaman.

“Hentikanlah adu domba. Elakkanlah sengketa sesama kita, buang segala sikap buruk yang melemahkan kita,” tegas beliau.

Namun, pendedahan Muhyiddin mengenai komplot tersebut dilihat oleh sesetengah pihak sebagai petanda bahawa kedudukannya semakin goyah.

Walaupun beliau menegaskan bahawa BERSATU masih kukuh, kenyataan itu dilihat bercanggah dengan mesej keyakinan yang cuba ditonjolkan.

Ketika ini, BERSATU turut bergelut dengan persaingan dalaman antara dua tokoh utama iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Azmin Ali yang masing-masing dikatakan berhasrat untuk mengambil alih tampuk kepimpinan parti.

Persaingan itu menimbulkan persoalan besar mengenai hala tuju BERSATU menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Chin Tong turut menyatakan bahawa ucapan Muhyiddin lebih menyerlahkan keinginan peribadi untuk mempertahankan jawatan presiden, sekali gus membuka ruang kepada pesaing dalaman menilai kelemahannya.

“Ucapan Muhyiddin lebih menonjolkan matlamat peribadi untuk kekal sebagai presiden, sekali gus membuka ruang kepada pesaing dalaman menilai kelemahannya.

“Malah, PAS sebagai sekutu utama dalam PN turut memerhati rapat perkembangan ini,” katanya.

Menurut beliau, krisis yang melanda BERSATU turut memberi kesan langsung kepada Perikatan Nasional (PN), yang kini dilihat semakin berpecah.

Katanya, walaupun PAS kekal dominan dalam kalangan pengundi Melayu, perpecahan dalam BERSATU berpotensi melemahkan kekuatan blok pembangkang secara keseluruhan.

Untuk rekod, Muhyiddin pernah mengetuai kerajaan selama 17 bulan selepas Langkah Sheraton pada 2020, hasil gabungan BERSATU, serpihan UMNO dan PKR.

Namun selepas Pilihan Raya Umum 2022, UMNO dan PKR berjaya memulihkan kekuatan mereka, sekali gus menyempitkan ruang politik BERSATU dalam landskap nasional.

Anda Mungkin Berminat