AMK Fokus Perkukuh Jentera Hadapi PRN Sabah

PETALING JAYA: Biro Politik Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini memberi fokus utama kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Dalam mesyuarat pertama pada 26 Mei lalu, AMK membincangkan hala tuju dasar pasca pemilihan dengan menekankan pembangunan anak muda, reformasi institusi serta pentadbiran.

Lebih penting, perhatian diberikan kepada pengukuhan jentera, strategi dan sokongan akar umbi di Sabah bagi memastikan kesiapsiagaan menjelang PRN.

Dalam satu kenyataan, Biro Politik AMK menegaskan komitmen mereka untuk memperkukuh persiapan pilihan raya:

“Fokus AMK kini tertumpu kepada persiapan jentera, strategi dan pengukuhan sokongan akar umbi,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Ketua AMK, Kamil Munim; Timbalan Ketua AMK, Izuan Kasim serta beberapa Naib Ketua yang sama-sama membincangkan langkah-langkah memperkasakan organisasi serta mempercepatkan persiapan pilihan raya.

Bagi memastikan kelancaran gerak kerja, katanya, beberapa jawatan penting telah dilantik lebih awal.

Izuan Kasim kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya, manakala Zaidi Jatil dilantik sebagai Ketua AMK Sabah.

Sementara itu, Vincent Fung akan berperanan sebagai Timbalan Ketua AMK Sabah serta Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya AMK Sabah.

Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan awal ini bertujuan menjamin kesinambungan gerak kerja sebelum kepimpinan baharu AMK sesi 2025/2028 dimuktamadkan sepenuhnya.

“Biro Politik AMK memutuskan beberapa jawatan diisi terlebih dahulu sebelum pelantikan penuh kepimpinan AMK sesi 2025/2028 dimuktamadkan,” menurut kenyataan itu.

AMK kekal optimis bahawa persiapan yang rapi dan strategi yang tersusun mampu mengukuhkan kedudukan parti serta menarik sokongan rakyat Sabah menjelang PRN nanti.

Pelantikan rasmi kepimpinan baharu AMK dijangka diumumkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK dalam masa terdekat.

Anda Mungkin Berminat