Wakil Kedutaan AS akhirnya buka pintu, setuju terima memorandum GSF

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS) akhirnya membuka pintu dan bersetuju menerima memorandum berhubung 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel di dalam Misi Global Sumud Flotilla.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim memberitahu bahawa hanya beliau bersama Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik sahaja yang dibenarkan masuk memasuki pejabat kedutaan AS bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Menerusi sidang media pada Jumaat, Kamil memaklumkan serahan memorandum tersebut dilakukan pada jam 3 petang.

Pada awal katanya, wakil kedutaan AS hanya membenarkan mereka menyerahkan memorandum tersebut menerusi jendela tingkap pejabat itu.

Bagaimanapun, setelah giat berusaha untuk memasuki menerusi pintu masuk, akhirnya pihak kedutaan membenarkan mereka.

Antara tokoh pemimpin yang turut mengiringi adalah Iman Muda, Asyraf dan beberapa ahli daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR.

“Pada petang tadi jam 3 petang saya melakukan sedikit perbincangan oleh wakil kedutaan (AS) mereka memaklumkan bahawa pihak kedutaan bersetuju untuk menerima memorandum dan kita baru saja selesai menyerahkan memorandum,” katanya.

Beliau memberitahu wakil kedutaan AS bersedia untuk mendengar beberapa tuntutan daripada memorandum tersebut dan menjamin bahawa AS akan cuba sedaya upaya membantu Malaysia membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel.

“Permohonan kita adalah supaya proses membawa pulang tidak hanya sekadar sukarelawan yang datang dari Malaysia tetapi termasuk seluruh mereka yang menyertai misi flotilla ke Gaza.

“Saya telah diberi jaminan oleh pihak Kedutaan bahawa mereka sedang bekerja keras untuk memastikan keselamatan dan keadaan baik sukarelawan kita di sana serta dalam proses segera mungkin membawa pulang mereka ke tanah air,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan telah bercakap dengan Perdana Menteri dan dimaklumkan bahawa rakan-rakan dari Turki dan Qatar sedang mengatur perjalanan pulang para sukarelawan dari pelabuhan di Israel.

“Insya-Allah kita akan menantikan kepulangan mereka tidak lama lagi dan pihak Kedutaan juga memberikan jaminan tentang keselamatan mereka serta akan membantu sedaya upaya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik yang berhimpun semalam menyatakan pendirian bersama.

“Alhamdulillah hari ini kita dapat saksikan bahawa suara kita, permintaan kita, tuntutan kita didengari oleh pihak Amerika Syarikat dan mereka sedang bekerja ke arah itu,” ujarnya.

Antara tuntutan yang terdapat di dalam memorandum tersebut adalah meminta Washington untuk segera menyampaikan kebimbangan rakyat negara ini terhadap keselamatan, kebajikan serta pembebasan segera tahanan rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim tentera Israel (IOF).

Selain itu, AS dituntut untuk memberi tekanan diplomatik yang berkesan ke atas Israel bagi memastikan rakyat Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dapat dibebaskan tanpa sebarang syarat

Dalam masa sama, mereka turut menuntut jaminan diberikan supaya misi kemanusiaan GSF tidak dihalang dan dikriminisasi selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pada perkembangan yang sama, ribuan peserta Himpunan Solidariti Free Sumud Flotilla turut membanjiri kawasan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebagai tanda solidariti terhadap Global Sumud Flotilla.

Difahamkan, perhimpunan bermula selepas solat Jumaat di Bangunan Tabung Haji sebelum peserta berarak menuju ke kedutaan pada jam 2 petang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat