KPM Sambut Titah Raja Permaisuri Agong, Usaha Wujud Persekitaran Selamat Di Institusi Pendidikan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang menekankan keperluan mewujudkan persekitaran selamat di semua institusi pendidikan khususnya dalam menangani isu salah laku seksual yang semakin membimbangkan.

Dalam satu kenyataan rasmi, KPM menyifatkan titah tersebut sebagai peringatan penting kepada seluruh warga kementerian agar tidak alpa dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid sentiasa menjadi keutamaan.

“KPM komited melaksanakan kempen kesedaran di semua institusi pendidikan dan menilai keberkesanan modul Tindak Demi Anak Kita (TinDak),” katanya.

KPM turut mengakui bahawa isu salah laku seksual bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada mangsa, malah mencemar imej institusi pendidikan dan menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.

Sebagai langkah susulan, kementerian akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi melaksanakan kajian mengenai pengaruh media sosial terhadap murid, selaras dengan saranan Raja Permaisuri Agong.

“Keprihatinan baginda terhadap isu sosial menjadi panduan kepada KPM untuk memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan murid,” jelas kenyataan itu.

KPM berkata, usaha memperkukuh tatacara perlindungan murid akan diteruskan secara berterusan dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan institusi pendidikan kekal sebagai ruang yang selamat dan menyokong perkembangan holistik anak-anak.

Dalam semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama, kementerian turut menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, penjaga dan masyarakat umum untuk berganding bahu dalam melindungi generasi muda daripada sebarang bentuk gangguan dan ancaman.

Anda Mungkin Berminat