KUALA LUMPUR : Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh ahli parti agar mengetepikan perbezaan dan merapatkan saf susulan pemilihan parti yang berlangsung bulan lalu.
Dalam ucapannya semasa seminar kepimpinan PKR hari ini, Anwar menekankan bahawa kematangan politik adalah kunci kepada kekuatan parti, terutama ketika menghadapi cabaran besar sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

“Bayangkan saya boleh bekerjasama dengan Umno, siap peluk-peluk. (Ahli parti) kena move on untuk agenda lebih besar.
“Kalau saya boleh bekerjasama dengan Umno, takkanlah saya tak boleh bekerjasama dengan kawan-kawan yang berbeza pendapat,” katanya, merujuk kepada keperluan memupuk kesepakatan dalaman demi masa depan parti.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mempelawa bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk terus memainkan peranan dalam Kabinet, meskipun wujud spekulasi mengenai rombakan yang bakal berlaku.
Beliau menyifatkan kedua-dua tokoh muda itu sebagai aset penting dalam meneruskan dasar reformasi serta memperkukuh agenda kerajaan perpaduan.
“Rafizi dan Nik Nazmi telah menunjukkan prestasi yang meyakinkan. Saya menghargai komitmen mereka, dan saya harap mereka terus kekal dalam barisan kepimpinan kerajaan,” tambah Anwar.
Gesaan Anwar dilihat sebagai langkah memperkukuh perpaduan parti dan menstabilkan hubungan dalaman pasca pemilihan, serta mengukuhkan keyakinan terhadap barisan Kabinet sedia ada menjelang sebarang kemungkinan rombak.
Baca juga: