Anwar Alu-Alukan Penubuhan Kedutaan Ethiopia Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan penubuhan Kedutaan Ethiopia di Kuala Lumpur, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh jambatan persahabatan, kepercayaan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan selepas beliau mengadakan pertemuan ringkas dengan Presiden Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia, Taye Atske Selassie Amde, sempena memperingati ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Ethiopia.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin menekankan keperluan memperluas kerjasama ekonomi dan strategik khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, ekonomi halal dan keselamatan siber.

Usaha itu, kata Anwar, selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk mencapai pertumbuhan bersama.

Beliau turut menambah bahawa pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada September lalu bersama penubuhan Kedutaan Ethiopia di Kuala Lumpur, merupakan langkah strategik yang akan memperkukuh kepercayaan serta memantapkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.

“Langkah ini diharap dapat terus memperkasakan hubungan diplomatik sambil memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat