Anwar Garis Hala Tuju Negara Menerusi Perutusan Tahun Baharu 2026

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 pada pukul 11.30 pagi ini, Isnin, yang akan menjadi panduan utama hala tuju kerajaan sepanjang tahun.

Menurut hantaran di Facebook beliau, perutusan tersebut bakal merangkumi pelbagai inisiatif strategik serta beberapa pengumuman penting yang akan digerakkan bagi memperkukuh agenda pembangunan negara.

“Insya-Allah, pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri pagi ini, saya akan menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 yang menggariskan hala tuju, inisiatif serta beberapa pengumuman penting untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar akan menyampaikan amanat tersebut selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya pada jam yang sama.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut menjangkakan pengumuman penting akan dibuat khususnya melibatkan isu-isu kritikal yang menjadi perhatian rakyat.

“Ia menunjukkan betapa serius Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk tangani isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya dalam ekonomi, pendidikan, reformasi institusi.

“Saya yakin pengumuman positif akan dibuat pada hari esok (Isnin) untuk menangani beberapa isu yang kritikal seperti ini,” katanya ketika berucap di Konvensyen Tahunan DAP Melaka ke-25 pada Ahad.

Anda Mungkin Berminat