Penjawat awam digesa untuk sentiasa mengamalkan kecepatan dan kepesatan dalam pelaksanaan tugas supaya dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan pantas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apabila sesuatu dasar diumumkan kerajaan, penjawat awam perlu melaksanakannya dengan pantas dan cara yang baharu.
“Saya tegaskan penjawat awam perlu membudayakan kecepatan dan kepesatan dalam pelaksanaan tugas supaya dasar-dasar yang dirangka kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Selain itu, Anwar turut mempersoalkan budaya memberi pengiktirafan kepada penjawat awam yang masih tidak mencapai prestasi yang baik dalam melaksanakan tugas.
“Saya turut persoalkan budaya memberi pengiktirafan kepada penjawat awam yang masih di tahap lembap dan malas, sedangkan ia sepatutnya hanya dianugerahkan hanya kepada mereka yang berkualiti serta prestasi terbaik,” ujarnya.
Pada masa yang sama Anwar turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kerana mendapat kerjasama penuh kalangan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam melaksanakan urusan pentadbiran negara.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Presiden PPTD, Datuk Seri Isham Ishak.
Baca juga: