Anwar Ingatkan Anggota PKR, ‘Kini Masa Bergerak Sebagai Satu Pasukan’

LUMUT: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, era pemilihan telah berlalu dan kini tiba waktunya untuk bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan perjuangan reformasi terus kukuh dan memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam pertemuan bersama pucuk pimpinan PKR Negeri Perak sempena Seminar Pemantapan Organisasi yang berlangsung di Lumut, beliau memberi fokus kepada usaha memperkukuh struktur parti di setiap peringkat khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Perbezaan harus diketepikan dan keutamaan perlu diberikan kepada usaha memperjuangkan nasib rakyat serta membina masa depan negara,” katanya dalam ucapan.

Program ini merupakan kesinambungan daripada siri jelajah PKR di Melaka yang bertujuan memperkasakan organisasi dari akar umbi, menyatukan tenaga dan menggerakkan agenda reformasi dengan lebih berkesan.

Antara fokus utama yang diketengahkan adalah memantapkan jentera parti dalam menghadapi PRU16, menangani tohmahan dan fitnah secara bijak serta berfakta, memperkuat perpaduan dan solidariti dalam kalangan anggota parti.

Dalam sesi tersebut, Anwar turut mengingatkan bahawa cabaran utama bukan sekadar menguruskan organisasi tetapi memastikan PKR terus relevan dan menjadi benteng perjuangan rakyat.

Anda Mungkin Berminat