Anwar Ingatkan Rakyat Tolak Politik Sempit, Fokus Pembangunan Sabah

SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Sandakan bagi menghadiri beberapa program yang diatur sepanjang dua hari di Sabah, sambil terus mendekati masyarakat pelbagai lapisan di Negeri Bawah Bayu.

Dalam program bersama anak-anak muda di Pusat Futsal Sim Sim, Anwar menekankan peranan belia Sabah sebagai pemacu kemajuan negeri dan negara.

“Belia Sabah dituntut untuk cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi dan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri dan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, kesinambungan kemajuan dan sinergi padu perlu diterjemahkan melalui pemilihan kepimpinan yang tepat khususnya pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.

Anwar turut mengingatkan hadirin bahawa Kerajaan Persekutuan menyalurkan sekitar RM17 bilion kepada Sabah setiap tahun, berbanding kutipan hasil negeri sebanyak RM10 bilion.

“Kerajaan pusat bukannya mengaut hasil atau khazanah negeri seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya.

Kata beliau, angka tersebut adalah bukti jelas usaha kerajaan pusat untuk memastikan Sabah terus dipacu secara menyeluruh dan berterusan, selain memastikan belia dan rakyat negeri itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

“Inilah bukti jelas usaha Kerajaan Pusat untuk memastikan negeri ini terus dipacu secara menyeluruh dan berterusan selain memastikan belia dan urang Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat