Anwar Kecam Serangan Ganas Di Sydney

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan rasa dukacita dan kebimbangan terhadap serangan ganas di Sydney yang meragut nyawa orang awam tidak berdosa serta mencederakan ramai yang lain.

Dalam kenyataan rasmi, beliau mengecam tindakan tersebut sekeras-kerasnya dan menegaskan bahawa tiada sebarang justifikasi bagi keganasan yang menyasarkan orang awam, apatah lagi serangan berasaskan kaum atau agama.

“Saya amat berdukacita dan amat bimbang dengan serangan ganas di Sydney yang telah meragut nyawa orang tidak berdosa serta mencederakan ramai yang lain.

“Saya mengecam tindakan ini sekeras-kerasnya. Tidak ada sebarang justifikasi bagi keganasan yang ditujukan kepada orang awam, apatah lagi serangan yang menyasarkan individu berdasarkan kaum atau agama, pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Tindakan sebegini tidak mempunyai asas dalam mana-mana kepercayaan atau pegangan,” katanya.

Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih sepenuhnya.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat dan Kerajaan Australia pada saat sukar ini serta menyokong segala usaha untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Terdahulu, satu insiden serangan ganas telah berlaku di Bondi Beach, Sydney pada Ahad ketika sambutan Hanukkah berlangsung.

Serangan itu disifatkan sebagai tindakan keganasan bermotifkan antisemitisme, mengorbankan sekurang-kurangnya 16 nyawa dan mencederakan lebih 40 orang.

Anda Mungkin Berminat