PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan urusan perolehan aset pertahanan negara perlu dilaksana dengan telus dan bebas daripada campur tangan politik.
Beliau berkata, pengalaman lawatannya ke Langkawi baru-baru ini membuka mata apabila mendapati kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sudah berusia hampir setengah abad masih digunakan kerana kekurangan aset baharu.
“Saya ke Langkawi tengok kapal. Betul, kapal tahun 1976 pun masih digunakan sebab kita tidak ada cukup kapal.
“Bayangkan perasaan saya, berbilion ringgit sudah dibelanjakan tetapi kapal tiada.Tahun 1976 saya masih ditahan di Kamunting, kapal itu sudah ada,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang membangkitkan isu penggantian kapal berusia lebih 30 tahun.
Jelas Anwar, perkara itu menjadi pengajaran kepada kerajaan agar semua urusan perolehan dibuat secara rundingan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi mengelak pembaziran serta ketirisan.
“Negosiasi mesti dibuat secara betul, kos perlu disemak dengan teliti dan jangan ada campur tangan politik atau kepentingan individu tertentu,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk yang berusia lebih tiga dekad, yang disifatkan sebagai “keranda terbang”.
Susulan teguran itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan pembatalan pembelian empat helikopter Black Hawk bernilai kira-kira RM187 juta.
Baca juga: