Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keyakinannya bahawa semua agensi kerajaan mampu mengutip semula dana tiris dan hilang melebihi jumlah RM15.5 bilion yang berjaya diselamatkan setakat ini.
Beliau berkata, meskipun ramai kakitangan kerajaan berkhidmat dengan penuh dedikasi, masih wujud kelemahan dalam sistem serta kepincangan dalam pelaksanaan undang-undang yang membuka ruang kepada segelintir pihak mengambil kesempatan sehingga berlaku ketirisan.
Menurut Anwar, kerjasama erat antara agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membolehkan dana tambahan sebanyak RM15.5 bilion dikutip dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Saya tidak boleh menafikan, bahawa saya sebagai anak Malaysia, bangga dengan prestasi Kastam Diraja.
“Dalam dua tahun lebih kita berjaya menghasilkan tambahan RM15.5 bilion.
“Itu kerana rakyat, hak kita, hak rakyat yang dirompak kerana sistem kita masih belum kemas sehingga memungkinkan ada kelompok yang mencari kesempatan, menyebabkan ketirisan, kehilangan dana.
“Kalau tanya saya, adakah ini mencukupi, saya tidak yakin jumlah ini adalah RM15.5 bilion,” katanya pada Sambutan Hari Kastam Sedunia 2025, pada Isnin.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Anwar berkata, kerajaan sebagai sebuah keluarga bersama Kastam menerima cabaran untuk mengembalikan wang yang tiris, hilang atau dicuri demi menyelamatkan bangsa dan negara.
Tambah beliau, peringatan itu adalah simbol keyakinan bahawa setiap pihak mampu memperbaiki kelemahan apabila diingatkan.








