Anwar Luncur Pameran Ngauman Harimau Mysore, Warisan Tipu Sultan Kekal Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Warisan agung Tipu Sultan dan Haider Ali, dua tokoh pejuang dari Mysore yang menentang imperialisme Barat, kini mendapat pentas baharu di Malaysia menerusi Pameran Ngauman Harimau Mysore yang dilancarkan malam tadi di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM).

Majlis peluncuran yang penuh berprestij itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut hantaran di Facebook Anwar, pameran itu menampilkan kepakaran dua tokoh bersejarah dalam diplomasi, ekonomi, seni dan teknologi ketenteraan yang mendahului zaman mereka.

“Pameran ini mengetengahkan warisan Tipu Sultan dan ayahandanya, Haider Ali, tokoh pejuang menentang imperialisme Barat, dengan kepakaran dalam diplomasi, ekonomi, seni dan teknologi ketenteraan yang mendahului zaman,” katanya.

Lebih mengagumkan, buat pertama kalinya beberapa artifak asli yang dibawa keluar dari Mysore lebih dua abad lalu kini dipamerkan secara kekal di Malaysia.

Anwar berkata, usaha itu merupakan hasil dedikasi dan kerja keras pihak MKIM dalam memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan India.

“Buat pertama kali, beberapa artifak asli yang dibawa keluar dari Mysore lebih 200 tahun lalu kini dipamerkan secara kekal di Malaysia hasil usaha gigih Muzium Kesenian Islam Malaysia,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman peribadi menjejak legasi Tipu Sultan di Mysore, India.

“Saya turut berkongsi pengalaman menjejak legasi Tipu Sultan di Mysore, India, simbol kepimpinan bijaksana, berprinsip dan toleran dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak muzium atas kejayaan membawa khazanah sejarah ini demi tatapan dan penghayatan generasi akan datang.

“Penghargaan kepada pihak muzium atas kejayaan membawa khazanah sejarah ini demi tatapan dan penghayatan generasi akan datang,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat