PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Dalam Negeri China, Chen Yixin, dalam usaha memperkukuh kerjasama keselamatan dan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Lawatan rasmi itu merupakan kunjungan pertama Chen ke negara sahabat pada tahun ini, sekali gus mencerminkan hubungan erat yang terus diperkukuh antara Malaysia dan China.
Menurut Anwar, kehadiran tokoh kepimpinan tinggi dari kerajaan China itu amat dihargai, bukan sahaja oleh beliau, malah seluruh jentera Kerajaan MADANI.
“Perbincangan kami terarah kepada hubungan bilateral khususnya dari sudut kerjasama keselamatan, selain menyentuh situasi geopolitik semasa dunia yang menuntut kerjasama lebih erat antara dua negara sahabat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau berkata, dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks, kedua-dua negara bersetuju untuk terus memperkasa hubungan diplomatik serta memperluas kerjasama keselamatan demi memastikan kestabilan dan keamanan serantau terus terpelihara.
Tambahnya, usaha itu juga penting bagi menjamin kemakmuran sosial dan ekonomi yang dinikmati rakyat di kedua-dua negara dapat dikekalkan.
“Moga kemajuan yang dicapai bersama dalam pelbagai aspek akan terus menjadi pemangkin untuk memacu hubungan akrab Malaysia dan China ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Baca juga:








