Anwar Pengerusi Mesyuarat MED4IRN, Fokus MyDigital ID, AI Nasional Dan Dasar Kuantum

PETALING JAYA: Di tengah kebimbangan global terhadap penahanan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap meluangkan masa untuk mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara (MED4IRN) pada Khamis.

Menurut satu hantaran di Facebook Anwar, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan MyDigital ID yang disifatkan perlu dipertingkatkan bagi memastikan keberkesanan dan kebolehgunaan menyeluruh kepada rakyat.

“Perbincangan turut menyentuh status portal MyGov Malaysia dengan penekanan terhadap kerjasama erat antara kementerian dan agensi bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital kerajaan.

“Dalam langkah strategik yang dilihat sebagai lonjakan besar ke arah kedaulatan teknologi, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Sovereign AI Cloud iaitu satu inisiatif penting bagi menjamin keupayaan kecerdasan buatan (AI) nasional yang selamat, berdaulat dan menyokong pembangunan digital negara,” katanya.

Mesyuarat turut meluluskan cadangan mewujudkan Dasar Kuantum Negara, bermula dengan penubuhan Pasukan Kuantum Negara sebagai persediaan menghadapi ancaman teknologi kuantum termasuk risiko Q-Day, iaitu hari di mana sistem keselamatan sedia ada mungkin terdedah kepada serangan kuantum.

“Langkah ini dilihat penting sebagai persediaan Malaysia menuju status negara AI menjelang 2030, sekali gus memastikan negara kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran teknologi global,” katanya.

Mesyuarat MED4IRN yang dipengerusikan Anwar menghimpunkan barisan menteri berkaitan, ketua-ketua agensi serta pemain industri teknologi bagi menyelaras hala tuju transformasi digital negara secara menyeluruh dan inklusif.

Anda Mungkin Berminat