PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini kembali beroperasi sepenuhnya bermula hari ini, selepas menjalani proses penyelenggaraan dan penambahbaikan menyeluruh.
Pengumuman itu dikongsikan menerusi laman Facebook rasminya, di mana beliau turut memaklumkan sempat meninjau sendiri tahap kemudahan perkhidmatan tersebut sebelum berlepas bagi memulakan lawatan rasmi ke tiga negara.
“Alhamdulillah, perkhidmatan aerotrain ini kini kembali beroperasi bermula hari ini setelah melalui proses penyelenggaraan dan penambahbaikan.
“Ia merupakan satu langkah penting demi memastikan keselesaan dan kelancaran pergerakan semua pihak, khususnya para penumpang yang menggunakan KLIA sebagai pintu masuk dan keluar negara,” katanya.
Anwar turut menekankan kepentingan aerotrain dalam memperkukuh imej KLIA sebagai lapangan terbang bertaraf dunia yang mengutamakan keperluan dan keselesaan pengguna.
“Syabas dan tahniah kepada pihak Malaysia Airports dan semua yang terlibat atas usaha berterusan dalam menambah baik mutu perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat dan para pelawat antarabangsa,” ujar beliau lagi.
Untuk rekod, perkhidmatan aerotrain KLIA ialah sistem pengangkutan automatik tanpa pemandu yang direka untuk menghubungkan bangunan terminal utama dengan bangunan satelit.
Ia memainkan peranan penting dalam memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar terutama pada waktu puncak.