KUCHING: Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang mempertandingkan 488 acara daripada 37 jenis sukan dengan penyertaan lebih 12,000 atlet dan pegawai, menutup tirai secara rasmi, malam tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji prestasi cemerlang dan luar biasa dipamerkan semua atlet yang bertanding pada SUKMA 2024.
Beliau berkata, semangat juang tinggi yang dipamerkan setiap atlet bertanding telah berjaya membawa kepada kejayaan memecahkan beberapa rekod kebangsaan dan temasya kali ini.
“Semangat kesukanan dan perpaduan sangat hebat ini yang kita hendak pupuk. Kadang-kadang kita dengar ada (sukan) antara negeri, jabatan, wilayah, sekolah dan universiti terlalu sengit.
“Semangat ini perlu dikekalkan dan ini yang disebut sebagai ihsan dalam MADANI… tahniah anak Sarawak dan semua kontinjen kerana menunjukkan perpaduan yang sangat tinggi,” katanya ketika menyempurnakan upacara penutupan di Stadium Perpaduan di sini.

Anwar berkata, lebih membanggakan, di sebalik perjuangan untuk meraih kemenangan dalam acara yang ditandingi, para atlet tetap bersaing dengan semangat perpaduan dan menjalin hubungan akrab dalam kalangan atlet dari kontinjen lain.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri dan semua pihak terbabit atas kejayaan penganjuran SUKMA 2024 yang disifatkan beliau sebagai antara terbaik pernah dianjurkan di Malaysia.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anak-anak yang mencatat kemajuan, bekerja bertungkus lumus, guru, pendidik, pelatih dan seluruh jentera yang menjayakan SUKMA ke-21 di Sarawak,” katanya lagi.