PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Afrika Selatan pada Jumaat diserikan dengan pertemuan penuh makna bersama diaspora Malaysia di Johannesburg, yang disifatkan beliau sebagai pengalaman istimewa dan menyentuh hati.
Dalam suasana penuh mesra, Anwar berkata, walaupun komuniti Malaysia berada jauh dari tanah air, semangat kekeluargaan dan keakraban yang ditunjukkan seolah-olah mereka berkumpul di Kuala Lumpur.
“Mereka (Diaspora) berkongsi cabaran, peluang dan perjalanan hidup yang membentuk kekuatan serta perpaduan komuniti Malaysia di sini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pertemuan itu turut menjadi wadah bagi Anwar menjelaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam merapatkan hubungan dengan rakyat Malaysia di luar negara, sambil menegaskan bahawa diaspora sentiasa dihargai dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada nadi pembangunan bangsa.
Selain itu, beliau berkongsi matlamat lawatan rasmi ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya yang menurutnya bukan sekadar berkisar kepada ekonomi dan pelaburan tetapi juga usaha memetakan Malaysia di persada nilai serta prinsip kemanusiaan.
“Sejarah derita panjang benua Afrika perlu ditelaah sebagai usaha memperkukuh multilateralisme dan keadilan,” katanya.
Anwar turut terharu dengan kecintaan diaspora terhadap Malaysia dengan menyifatkan mereka sebagai ‘duta tidak rasmi’ yang memperluas jaringan serta memartabatkan imej negara di peringkat antarabangsa.








