Anwar Seru ASEAN Kekal Bersatu, Terbuka Hadapi Ketidaktentuan Global

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara ASEAN agar terus berpegang kepada prinsip keterbukaan dan perpaduan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi serta perubahan dinamik perdagangan global yang semakin mencabar.

Berucap pada Perasmian Sidang Kemuncak DHL GoTrade Summit 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Anwar berkata, dunia kini berada di persimpangan baharu yang menuntut pendekatan perdagangan lebih fleksibel berasaskan kepercayaan dan berteraskan keadilan.

“Apa yang dunia perlukan bukan lagi retorik tentang peraturan tetapi komitmen sebenar terhadap keadilan dan hasil yang nyata,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh daya tahan ekonomi serantau dengan menjadikan ASEAN sebagai nadi utama rantaian bekalan global dan pasaran berdaya saing.

Menurutnya, blok serantau itu dijangka muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan yang dipercayai, Anwar memberi jaminan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan tidak akan dipinggirkan.

Katanya, sokongan pembiayaan dan pemerkasaan digital akan terus diperluas agar PKS mampu bersaing dan menyumbang kepada ekosistem ekonomi yang mampan.

“Transformasi digital, kecerdasan buatan dan automasi bukan lagi pilihan mewah tetapi alat penting yang menentukan daya saing masa depan,” katanya sambil menekankan kepentingan kerjasama antara PKS dan syarikat multinasional dalam membina ekosistem inovatif dan berdaya tahan.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menegaskan komitmen terhadap pelaksanaan ASEAN Vision 2045 dan tema ‘Inclusivity and Sustainability’ yang menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi yang adil, inklusif dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

Anda Mungkin Berminat