Anwar seru ASEAN kuatkan teras hadapi tekanan kuasa luar

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa negara ASEAN menguatkan teras asas dalam rantau ini dalam menghadapi tekanan kuasa luar.

Menerusi ucapan pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) hari ini, Anwar berkata semua negara anggota ASEAN wajar mempergiatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan antara satu sama lain bagi mempercepatkan integrasi merentas sektor dengan tekad.

“Membangun ekonomi ASEAN yang lebih kukuh dan bersambung adalah keperluan strategik yang akan mengukuhkan relevansi dan ketahanan kita untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa ASEAN harus menolak idea bahawa dunia boleh dibahagikan kepada ‘sphere’ pengaruh dan monopoli dalam membuat keputusan mengenai rantau ini.

“Kita adalah rantau yang menentukan haluannya sendiri secara sengaja, konsisten dan berazam. ASEAN tidak akan diputuskan tanpa kehadiran kita,” ujarnya.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa dalam keadaan dunia yang tidak menentu kini, penting bagi ASEAN untuk bertindak dengan tujuan jelas di rantau ini sendiri.

“Iaitu dengan memajukan kerjasama yang membawa manfaat nyata kepada rakyat kita. ASEAN akan terus fokus pada kerjasama praktikal: hubungan antara negara, keselamatan makanan, transformasi digital, pendidikan, kesihatan awam, dan ketahanan iklim,” tambahnya.

Anwar menggambarkan usaha-usaha tersebut melalui analogi seorang ibu di Batambang, Kemboja.

“Ibu di Batambang menyediakan gerainya ketika fajar menyingsing di bandar. Ia berterusan dalam tangan tabah seorang petani di Central Luzon, yang mengusahakan tanah yang telah menyokong generasi demi generasi.

“Dan ia bersinar dalam mata penuh harapan seorang kanak-kanak di Chiang Rai, berjalan ke sekolah dengan impian masa depan.

“Dari Sittwe ke Merauke, dari Da Nang ke Dili, rantau kita boleh menjadi lebih aman dan lebih makmur jika kita mempunyai keberanian untuk melihat ASEAN bukan sebagai negara-negara yang bergerak secara selari, tetapi sebagai satu komuniti yang bergerak dengan tujuan,” tambahnya.

Beliau juga berkata, hasil daripada usaha ini, ASEAN berjaya membuktikan nilainya bukan sekadar dalam kata-kata tetapi melalui hasil yang mengukuhkan rakyat serta rantau ini.

“Jadi, biarlah mesyuarat ini meneguhkan keyakinan kita bahawa ASEAN akan terus kukuh, tahan lasak dan dihormati,” ujarnya.

Mesyuarat tersebut berlangsung sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang bermula pada 8 hingga 11 Julai.

Lebih 40 menteri luar dan wakil daripada organisasi antarabangsa dijadual menghadiri beberapa siri mesyuarat pimpinan ASEAN.

Ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN sepanjang sejarahnya sebagai anggota blok serantau itu selepas mempengerusikannya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat