KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk menghayati nilai-nilai luhur seperti kebijaksanaan, kesederhanaan, ihsan dan kasih sayang sempena sambutan Hari Wesak, yang disifatkannya sebagai asas penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.
Menerusi perutusan Hari Wesak, beliau berkata nilai-nilai tersebut bukan sahaja menjadi tunjang dalam tradisi keagamaan, malah kekal relevan dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang di negara ini.
Menurut beliau, semangat cinta, ihsan dan kasih sayang yang diraikan ketika sambutan Hari Wesak membawa makna yang lebih mendalam dalam suasana semasa, terutama ketika masih terdapat pihak yang cuba mencetuskan perpecahan serta permusuhan atas dasar kaum dan agama.
“Dalam negara yang rencam budaya, agama dan latar kehidupan, nilai cinta, ihsan dan kasih sayang yang diangkat ketika sambutan Wesak memberi makna mendalam tatkala wujud kelompok yang cuba menyalakan api permusuhan antara kaum dan agama,” katanya.
Anwar berkata, penyebaran nilai kasih sayang dan sikap saling menghormati mampu menangkis sentimen kebencian, mengurangkan prasangka serta memperkukuh persefahaman dalam kalangan rakyat.
Beliau percaya pendekatan berteraskan kemanusiaan itu akan terus menjadi asas kepada keharmonian, kestabilan dan perpaduan negara.
Pada masa sama, Perdana Menteri berharap sambutan Hari Wesak tahun ini membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada seluruh penganut Buddha di Malaysia.
“Semoga sambutan Hari Wesak tahun ini terus menyemarakkan nilai kemanusiaan yang menyatukan kita sebagai sebuah bangsa yang beradab dan bermaruah,” katanya.
Baca juga:








