Anwar tegas suara rantau ASEAN isu malapetaka iklim di G20

Oleh: Tyah Helmi

JOHANNESBURG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penyertaan Malaysia dalam sesi G20 di Johannesburg membawa makna besar kepada rantau ini.

Katanya, ia termasuk isu masa depan iklim, keterjaminan makanan serta peralihan tenaga bersih kembali menjadi perbincangan utama di peringkat dunia.

Dalam nada yang lantang, Anwar berkata kehadirannya di pentas G20 turut mengingatkan dunia bahawa pendekatan global tidak boleh meminggirkan wilayah yang terdedah kepada ancaman tersebut.

Beliau berkata, pengalaman sepanjang di Kepengerusian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu memberi petunjuk bahawa daya tahan tidak hanya terbina pada saat kemelut, tetapi mesti terpacul melalui pelaburan dan pendanaan awal, termasuk sistem amaran awal, dan kerjasama rentas sempadan yang berpaksikan kemanusiaan.

“Di ruang bicara yang sangat bertenaga itu, saya mengangkat satu hakikat yang tidak mampu disembunyikan di balik retorik mual, yakni bahawa tuntutan tenaga dunia masih belum selari dengan kemampuan teknologi bersih dalam mencapai matlamat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Justeru katanya, dunia perlu kembali jujur, pragmatik dan bertindak berani.

Ketika menyentuh perbincangan mengenai tenaga dan teknologi bersih katanya, Malaysia kini sedang gigih melabur dalam teknologi yang mengurangkan jejak karbon dan kesannya telah mencakupi dari pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) hingga ke rangkaian tenaga serantau.

“Tidak hanya tinggal slogan semata tetapi mesti menjadi jalur yang dapat ditempuh oleh rakyat terbanyak tanpa menanggung beban yang memeritkan,” ujarnya.

Justeru katanya, komitmen Malaysia dalam pelaburan teknologi rendah karbon adalah sebahagian daripada usaha memastikan peralihan tenaga tidak sekadar retorik, sebaliknya mampu memberi manfaat nyata kepada rakyat.

Beliau turut mengulangi bahawa agenda pembangunan di peringkat global tidak boleh mengabaikan manusia, terutama golongan kecil dan rentan yang terkesan secara langsung oleh apa-apa keputusan yang dicapai dalam pertemuan di peringkat tinggi.

“Dan di ruang tingkat tinggi ini juga saya mengulangi bahawa pembangunan tidak akan bermakna sekiranya manusia dikesampingkan.

“Dunia memerlukan sistem kewangan iklim yang lebih adil, dukungan yang menyentuh nasib petani kecil, dan rangka kerja global yang tidak meminggirkan negara membangun jauh nun di belakang,” ujarnya.

Sehubungan itu, Malaysia turut komited untuk mencipta kerjasama di peringkat global atau serantau dalam memastikan ketahanan, keadilan dan kesejahteraan tidak hanya wacana yang berlegar di kalangan elit tetapi realiti bagi jutaan insan yang menaruh harapan pada apa yang diputuskan hari ini di G20.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat