PUTRAJAYA: Sistem pendidikan negara warisan pemikiran Barat terlalu berorientasikan akademik hingga abaikan pembentukan nilai moral dalam diri pelajar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegur kelemahan utama sistem pendidikan masa kini ialah kecenderungan menilai kejayaan berdasarkan keputusan akademik semata-mata tanpa menekankan nilai moral, etika dan empati.
“Kalau mahu mencontohi sistem pendidikan Barat, ia perlu difahami secara menyeluruh.
“Jika hanya dicedok sebahagian yang berpaksikan kapitalisme, pemikiran anak-anak kita akan terpengaruh dengan ideologi itu.
“Pendidikan kini berasaskan ilmu, bukan nilai atau prinsip moral dan etika. Ini kelemahan yang perlu diperbetulkan,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri pada Isnin.
Beliau turut menegaskan, apabila sistem pendidikan gagal menekankan nilai kemanusiaan, masyarakat akhirnya berdepan pelbagai masalah sosial seperti gejala buli dan salah laku di sekolah.
Anwar berkata, pendidikan seharusnya berperanan membina manusia yang memahami makna empati, tanggungjawab dan keinsanan, bukan sekadar mengejar kemajuan material.
“Pembangunan harus memacu pertumbuhan, tetapi tujuannya ialah pembangunan manusia seutuhnya,” ujarnya
Menurutnya lagi, pendidikan berteraskan nilai Islam seperti keadilan, ihsan dan kepedulian terhadap golongan miskin perlu dijadikan asas agar pelajar memahami tujuan sebenar ilmu dan kemajuan.
“Pendidikan yang berjaya bukan sekadar membangunkan ekonomi, tetapi membina manusia yang berakhlak, bermoral dan menolak budaya materialistik,” katanya.
Baca juga:








