PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Fadlun Mak Ujud, pada Isnin.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada agenda besar demi masa depan ibu negara yang lebih maju, terancang dan berdaya saing.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha memperkukuh projek River of Life, menetapkan hala tuju pembangunan bandar yang lebih sistematik, mempercepatkan kelulusan melalui One Stop Centre (OSC) serta memperbaiki ekosistem penjaja dan peniaga kecil agar mereka terus diberi ruang, sokongan dan peluang yang adil dalam ekonomi bandar raya.
“Saya yakin, kepakaran profesional dan pengalaman beliau sebelum ini akan memperkukuh pelaksanaan pembangunan yang lebih mampan.
“Seterusnya memastikan Kuala Lumpur terus melangkah sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan selaras dengan nilai-nilai Madani,” katanya.
Dalam kesempatan itu, Perdana Menteri turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Fadlun yang kini disahkan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu bagi menyambung kesinambungan kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh mantan Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.








