PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini menerima kunjungan rasmi sahabat dan rakan sejawatnya, Perdana Menteri India, Narendra Modi di Perdana Putra, Putrajaya.
Istiadat sambutan rasmi penuh adat istiadat diadakan sebagai tanda penghormatan terhadap lawatan dua hari Modi ke Malaysia.
“Medan ini sudah pasti menjadi ruang untuk memperkukuh persahabatan dan kerjasama erat antara Malaysia dan India dalam pelbagai lapangan penting,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Lawatan Modi ke Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh ‘Comprehensive Strategic Partnership’ antara kedua-dua negara, yang telah lama terjalin sejak hubungan diplomatik ditubuhkan pada tahun 1957.
Kedua-dua pemimpin dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata serta mesyuarat delegasi bagi membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan serantau.
India kini merupakan antara rakan dagang utama Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala mencecah lebih RM80 bilion pada tahun 2025.
Selain itu, hubungan budaya dan masyarakat yang erat termasuk komuniti India di Malaysia menjadikan kerjasama ini lebih bermakna.
Modi turut dijadual menghadiri program bersama komuniti India di Kuala Lumpur serta menyaksikan beberapa perjanjian persefahaman baharu yang dijangka memperluas kerjasama dalam sektor teknologi hijau dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Lawatan ini juga dilihat sebagai kesinambungan daripada kunjungan rasmi Anwar ke New Delhi pada Ogos 2024, yang membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala.








