Anwar tidak silap dalam wawancara CNN – Hassan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak silap dalam membuat kenyataan dalam wawancara bersama CNN baru-baru ini, tegas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Beliau berkata, kenyataan Anwar berkenaan negara Israel perlu dilihat dalam konteks pendirian Malaysia terhadap isu Palestin dan Israel secara keseluruhannya.

“Pendirian Malaysia sehingga kini masih berpegang kepada penyelesaian dua negara atau ‘two states solution’.

“Pendirian ini bermakna wujud dua negara Israel dan Palestin yang merdeka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyatakan bahawa video temu bual Anwar bersama Richard Quest daripada CNN telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel yang berniat mengelirukan.

Mengulas mengenai itu, Hassan menegaskan adalah tanggungjawab Fahmi untuk menyiarkan keseluruhan wawancara tersebut tanpa disunting.

“Apabila Malaysia berpegang kepada penyelesaian ‘two states solution’, ia membawa makna jawapan Anwar kepada wartawan CNN Richard Quest itu tidaklah salah.

“Tetapi adalah lebih bijaksana jika PM Anwar Ibrahim menjawab bahawa yang ada hak untuk wujud ialah sebuah negara Palestin merdeka,” tambahnya.

Fahmi sebelum ini juga menegaskan bahawa Malaysia akan terus melindungi kewujudan Palestin dan tidak akan pernah sesekali mengiktiraf negara haram Israel.

Anda Mungkin Berminat