Anwar Tunai Janji Balas Surat Nanang Dari Pulau Banggi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janjinya untuk membalas sepucuk surat seorang murid dari Pulau Banggi, Sabah, yang menyentuh hatinya dengan harapan besar terhadap masa depan.

Dalam hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan bahawa pasukannya telah mengunjungi Syam Aariz Rayyan Abdullah, atau lebih mesra dipanggil Nanang, bersama keluarganya bagi menyampaikan sendiri surat balasan yang dijanjikan.

Menurut beliau, walaupun surat itu ringkas, kandungannya sarat dengan keikhlasan dan cita-cita seorang anak kecil yang mahu mengubah kehidupan melalui ilmu dan pendidikan.

“Sepucuk surat kecil, namun cukup besar maknanya kerana di sebalik tulisan itu tersimpan harapan, keikhlasan dan impian seorang anak kecil tentang masa depan,” katanya.

Terdahulu, Anwar menerima surat daripada Nanang semasa lawatan beliau ke Pulau Banggi.

Walaupun masih kecil, murid itu mempunyai impian besar untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti, di mana cita-cita yang sering dijadikan bahan gurauan oleh rakan-rakan sekolahnya.

Anwar berkata, surat seperti itu menjadi peringatan bahawa anak-anak di seluruh pelosok negara tetap menyimpan aspirasi besar untuk membina masa depan yang lebih baik.

Sebagai dorongan, Perdana Menteri turut menghadiahkan dua buah buku kepada Nanang agar terus membaca, berfikir dan mengejar impian demi keluarga, agama dan negara.

“Insya-Allah, masa depan Malaysia akan terus bercahaya selagi masih ada anak-anak seperti Nanang yang lembut hatinya, tekun menuntut ilmu dan menyimpan harapan besar untuk hari esok,” katanya.

Anda Mungkin Berminat