Anwar Ucap Selamat Mengundi Kepada Semua Urang Sabah

KOTA KINABALU: Hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat negeri itu untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi, sambil menyampaikan pesanan kepada penyokong gabungan tersebut.

“Selamat mengundi saya ucapkan kepada semua warga Sabah. Esok (Hari ini) adalah hari saudara-saudari menentukan hala tuju negeri yang dicintai ini.

“Saya dengan rendah diri merayu agar diberikan mandat kepada calon-calon Pakatan Harapan untuk bersama mencorak masa depan Sabah yang lebih makmur, adil dan terjamin untuk setiap keluarga.

“Setiap undi saudara-saudari amat bermakna. Undilah Pakatan Harapan, demi Sabah yang lebih utuh dan maju untuk semua,” katanya dalam satu hantaran beserta poster.

PRN Sabah kali ini menyaksikan lebih 1.7 juta pengundi layak keluar menunaikan tanggungjawab bagi memilih kerajaan baharu negeri itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan bahawa pusat mengundi akan dibuka seawal pukul 7.30 pagi dengan proses pengundian dijangka berlangsung sehingga pukul 5.30 petang.

Pilihan raya ini turut menjadi tumpuan nasional memandangkan Sabah sering dilihat sebagai negeri yang mempunyai landskap politik dinamik dengan persaingan sengit antara gabungan-gabungan utama.

Keputusan PRN dijangka memberi kesan besar terhadap hala tuju pentadbiran negeri serta hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

SPR menasihatkan pengundi untuk keluar awal bagi mengelakkan kesesakan, selain mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Anda Mungkin Berminat