Anwar Ucap Tahniah, Atlet Para Negara Raih 64 Emas Di Sukan Para ASEAN 2025

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh atlet para negara yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Korat, Thailand, yang melabuhkan tirainya pada Isnin.

Kontinjen Malaysia menutup kempen dengan pencapaian luar biasa apabila meraih 64 pingat emas, 64 perak dan 73 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 201 pingat.

Kejayaan itu bukan sahaja melepasi sasaran awal 55 emas, malah mengatasi jumlah kutipan pingat keseluruhan yang disasarkan iaitu 181, sekali gus menempatkan Malaysia di kedudukan ketiga keseluruhan iaitu lebih baik berbanding edisi 2023.

Dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa, Anwar berkata, pencapaian itu membuktikan semangat juang dan keupayaan luar biasa atlet para negara.

“Malaysia berbangga dengan semangat juang para atlet yang membuahkan kejayaan cemerlang ini.

“Ia membuktikan keupayaan luar biasa mereka dalam mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya.

Perdana Menteri turut meluahkan rasa terharu melihat kegigihan atlet yang tidak pernah menjadikan keterbatasan sebagai penghalang untuk mengejar impian.

“Saya tersentuh melihat kesungguhan mereka yang terus berusaha dengan penuh disiplin dan keyakinan diri.

“Terima kasih kerana mengingatkan kita semua tentang makna sebenar perjuangan dan kecekalan,” katanya lagi.

Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh atlet, jurulatih serta barisan sokongan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan kontinjen negara.

“Tahniah wira negara. Kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat