Anwar Ucap Tahniah Buat Afrika Selatan Terajui G20, Sedia Perkukuh Kerjasama Strategik

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, bersempena negara itu mencatat sejarah sebagai negara benua Afrika pertama memegang tampuk Kepresidenan Kumpulan 20 (G20).

Anwar berkata, tema Kepresidenan G20 tahun ini, ‘Solidarity, Equality, Sustainability’, amat bertepatan dengan fokus Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang menekankan daya tahan bencana, kestabilan hutang serta pendanaan peralihan tenaga yang adil dan mampan.

“Kami turut menilai kemajuan hubungan dua hala susulan lawatan rasmi Presiden Ramaphosa ke Putrajaya pada Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan selepas kunjungan hormat bersama pemimpin itu.

Malaysia, jelas Anwar, bersedia memuktamad dan menandatangani beberapa dokumen penting melibatkan kerjasama ekonomi, industri, pertanian, tenaga hijau, halal, teknologi, penyelidikan serta pendidikan dan TVET.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut menawarkan insentif kepada syarikat dari Afrika Selatan untuk menyertai rantaian nilai semikonduktor Malaysia melalui fasiliti MY Integrated Circuit (IC) Design Park.

Selain mengukuhkan kerjasama dalam bidang pertahanan, perdagangan dan inovasi, Anwar juga memohon dukungan Afrika Selatan terhadap pencalonan Malaysia di badan antarabangsa seperti IMO, ECOSOC, ITU, HRC dan UNSC.

Menurut beliau, Malaysia kekal komited membina hubungan lebih kukuh dengan Afrika Selatan berteraskan solidariti, keyakinan serta agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Pertemuan itu diadakan dalam rangka lawatan rasmi Anwar ke Afrika Selatan dari 20 hingga 23 November, yang turut merangkumi agenda memperluas kerjasama ekonomi, teknologi dan pembangunan insan antara Malaysia dan negara-negara Afrika.

Anda Mungkin Berminat