Anwar Ucap Tahniah Kemenangan BNP Bangladesh

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan ucapan tahniah kepada Tarique Rahman serta Bangladesh Nationalist Party (BNP) atas kemenangan besar parti itu dalam pilihan raya Bangladesh yang disifatkan sebagai detik penting demokrasi negara berkenaan.

Beliau berkata, keputusan tersebut mencerminkan keberanian rakyat Bangladesh dalam menempuh cabaran luar biasa sebelum menyuarakan pendirian mereka melalui peti undi.

“Kemenangan ini adalah satu kejayaan demokrasi.

“Rakyat Bangladesh, setelah mengharungi tempoh cabaran luar biasa, telah menyuarakan pendirian mereka dengan jelas melalui peti undi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada penerima Anugerah Nobel Keamanan, Dr Muhammad Yunus, atas peranan beliau sebagai Ketua Penasihat sepanjang tempoh peralihan pentadbiran.

Menurutnya, kepimpinan Yunus telah memastikan proses demokrasi berlangsung dengan lancar dan penuh integriti.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada sahabat saya, Dr Muhammad Yunus, atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh penting ini dan memastikan proses demokrasi berlangsung dengan baik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia menantikan kerjasama erat dengan kepimpinan baharu Bangladesh dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala termasuk bidang ekonomi, pendidikan, dan pembangunan sosial.

Beliau turut menyampaikan salam hormat serta ucapan terbaik kepada rakyat Bangladesh, sambil menekankan bahawa kemenangan itu bukan sahaja milik sebuah parti tetapi juga simbol harapan baharu bagi masa depan negara tersebut.

Anda Mungkin Berminat