PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Canselor baharu Jerman, Friedrich Merz, lewat petang semalam dan mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah atas pelantikan pemimpin tersebut.
Dalam perbualan itu, Friedrich turut menyampaikan penghargaan atas peranan aktif Malaysia sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja.
Friedrich menyifatkan usaha itu sebagai satu pengiktirafan yang dianggap Perdana Menteri mencerminkan keupayaan diplomasi serantau Malaysia serta komitmennya terhadap keamanan dan kestabilan ASEAN.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala Malaysia–Jerman yang semakin kukuh serta menyatakan komitmen bersama untuk memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar berkata, Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, kekal komited memperkukuh perpaduan dan kestabilan serantau melalui pendekatan berasaskan diplomasi, dialog dan prinsip kemanusiaan.
Beliau juga menegaskan kepentingan kerjasama erat dengan negara seperti Jerman dalam memperkasakan peranan ASEAN sebagai sebuah blok serantau yang berwibawa, progresif dan berprinsip.