KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lewat petang Ahad telah menghubungi Anutin Charnvirakul bagi mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu.
Dalam satu hantaran di Facebook miliknya, Anwar menzahirkan rasa gembira atas pelantikan sahabat lamanya itu.
“Saya juga menzahirkan kegembiraan kerana beliau merupakan sahabat lama yang sentiasa bersama saya sewaktu susah dan senang,” katanya.
Pelantikan Anutin, tokoh politik veteran dan bekas Menteri Kesihatan Thailand, menandakan berakhirnya era dominasi dinasti Shinawatra dan membuka lembaran baharu dalam landskap politik Thailand.
Beliau dijangka memberi tumpuan kepada reformasi politik, pemulihan ekonomi dan pengukuhan hubungan serantau.
Dalam perbualan tersebut, Anwar turut menjemput Anutin untuk mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dalam masa terdekat.
“Saya turut menjemput beliau untuk mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dalam masa terdekat bagi membincangkan isu-isu penting termasuk pengukuhan hubungan dua hala selain perkembangan di sempadan Thailand–Kemboja serta kerjasama ASEAN,” katanya.
Anutin memaklumkan bahawa upacara angkat sumpah akan berlangsung dalam tempoh seminggu dan beliau menantikan peluang untuk berjumpa Anwar sejurus selepas itu.
Pelantikan ini dijangka membuka ruang baharu untuk kerjasama erat antara Malaysia dan Thailand khususnya dalam isu sempadan, perdagangan dan integrasi serantau di bawah kerangka ASEAN.