Anwar Ucap Tahniah Kepada Vijay Atas Pelantikan KM Tamil Nadu

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada C Joseph Vijay serta partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) atas kemenangan pilihan raya di negeri Tamil Nadu, India dan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri baharu.

Menurut Anwar, kejayaan Vijay mencerminkan kepercayaan besar rakyat terhadap kepimpinannya, selepas sekian lama dikenali sebagai ikon perfileman India Selatan.

“Selama bertahun-tahun, peminat menyaksikan beliau menewaskan watak penjenayah dan ahli politik korup di layar perak dalam tempoh tiga jam.

“Kini, rakyat Tamil Nadu telah memberi beliau tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada mana-mana watak yang pernah dilakonkan,” katanya dalam satu hantaran ringkas di Facebook pada Selasa.

Anwar turut menyifatkan gelombang ‘Oru Viral Puratchi’ atau ‘revolusi satu jari’ sebagai simbol perubahan politik yang hampir mencipta sejarah baharu di wilayah berkenaan.

Beliau berkata, hubungan Malaysia dan Tamil Nadu mempunyai ikatan sejarah, budaya serta hubungan rakyat dengan rakyat yang erat sejak sekian lama.

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Ketua Menteri Vijay dalam tahun-tahun akan datang,” katanya.

Vijay, 51, seorang pelakon terkenal yang beralih ke arena politik, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Tamil Nadu pada Isnin selepas parti-parti lain berjanji memberikan sokongan bagi membolehkannya memperoleh majoriti di dewan perundangan negeri.

Untuk rekod, Parti TVK memenangi 108 kerusi, kurang 10 kerusi daripada 118 yang diperlukan untuk membentuk majoriti sendiri dalam dewan yang mempunyai 234 kerusi.

Anda Mungkin Berminat