PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menggesa agar semua pihak menghentikan amalan menggunakan agama sebagai senjata politik, yang menurutnya hanya melemahkan perbahasan dan merosakkan keharmonian masyarakat.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melabel usaha dialog politik melalui gagasan ‘Rumah Bangsa’ sebagai ‘tipu daya syaitan’.
Mahfuz menegaskan kenyataan itu keterlaluan dan tidak matang.
“Dalam tradisi Islam, perbezaan pandangan tidak pernah dijawab dengan bahasa menghina atau melabel pihak lain sebagai syaitan.
“Ulama silam berhujah dengan ilmu dan hikmah, bukan dengan retorik yang memecah-belahkan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mahfuz turut mempersoalkan dakwaan bahawa kerjasama politik dengan DAP dianggap pengkhianatan terhadap Islam.
Katanya, sejarah menunjukkan Pas sendiri pernah bekerjasama dengan DAP tanpa sebarang label sebegitu.
“Saya menyeru semua pihak melihat gagasan ‘Rumah Bangsa’ sebagai usaha menyatukan rakyat.
“Rumah Bangsa ialah rumah yang cuba dibina semula supaya rakyat tidak terus hidup dalam pergaduhan politik.
“Walaupun gagasan itu belum sempurna, ia tetap penting. Rumah Bangsa mungkin belum sempurna tetapi ia usaha untuk menyatukan rakyat,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa rakyat Malaysia kini semakin matang dalam menilai propaganda politik.
“Apabila hujah politik semakin lemah, label agama sering dijadikan senjata.
“Tetapi rakyat Malaysia semakin matang dan mampu membezakan antara perjuangan agama yang tulen dan propaganda politik yang berselindung di sebalik agama,” katanya.
Mahfuz berkata, Islam adalah agama rahmat dan kebijaksanaan, bukan alat untuk menyerang lawan politik.








