Aplikasi ‘dobemall’ & ‘dobevil’ tawar keuntungan palsu, mangsa rugi RM540,600

Polis mengesan dua aplikasi jual beli dalam talian yang dikenali sebagai ‘dobemall’ dan ‘dobevil’ yang menipu mangsa dalam bentuk keuntungan komisen.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, aplikasi itu menawarkan keuntungan dalam bentuk komisen bagi transaksi pembelian yang dibuat melalui aplikasi berkenaan.

Menurutnya, dua laporan polis diterima berkaitan aplikasi tersebut dan masing-masing satu di Selangor dan Sarawak membabitkan nilai kerugian RM540,600.

“Berdasarkan siasatan, sindiket penipuan ini menggunakan kaedah yang pelbagai untuk memerangkap mangsa. Dalam kes di Selangor, mangsa ditawarkan untuk memuat turun aplikasi ini melalui rakan maya yang dikenali melalui TikTok.

“Manakala dalam kes di Sarawak, mangsa diarahkan untuk memuat turun aplikasi ini setelah menekan pautan iklan tawaran kerja yang dipaparkan di Facebook,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selepas memuat naik aplikasi itu, mangsa diarahkan untuk menggunakan aplikasi tersebut untuk membuat pembelian barang yang ditentukan dengan jaminan akan memperoleh keuntungan daripada setiap pembelian yang dibuat.

“Melalui aplikasi terbabit, mangsa akan dapat melihat wang komisen mereka meningkat. Namun apabila ingin mengeluarkan wang, mangsa akan dikenakan pelbagai bayaran tambahan.

“Perkaitan antara kedua-dua aplikasi ini sedang disiasat. Namun, pihak JSJK tidak menolak kemungkinan ia didalangi oleh sindiket yang sama,” katanya.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Semakan lanjut turut mendapati, aplikasi ‘dobemall’ masih boleh dimuat turun melalui app store.

“Pihak JSJK akan mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menurunkan kandungan itu bagi mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat