Apple mendahului 4 jenama ‘smartphone’ 2025 – Counterpoint

PERMINTAAN telefon pintar global meningkat 2 peratus pada tahun 2025, didorong momentum ekonomi di pasaran sedang pesat membangun, menurut firma penyelidikan Counterpoint Research.

Apple muncul sebagai peneraju pasaran dengan pegangan 20 peratus, tertinggi dalam kalangan lima jenama utama dunia.

Penganalisis Counterpoint, Varun Mishra, berkata prestasi itu disokong oleh permintaan kukuh negara pesat membangun selain jualan memberangsangkan siri iPhone 17.

“Pengeluar telefon pintar mempercepatkan penghantaran pada awal tahun bagi mengelakkan kesan tarif, namun impak langkah itu semakin berkurangan sepanjang 2025 dan tidak menjejaskan jumlah penghantaran pada separuh kedua tahun berkenaan,” katanya, seperti dipetik Reuters pada Isnin.

Samsung berada di kedudukan kedua dengan pegangan pasaran 19 peratus, meskipun mencatat pertumbuhan penghantaran yang sederhana. Xiaomi pula berada di tempat ketiga dengan 13 peratus pegangan pasaran, disokong oleh permintaan stabil di pasaran sedang pesat membangun.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Counterpoint, Tarun Pathak, menjangkakan pasaran telefon pintar global akan mengalami kelembapan pada 2026 berikutan kekurangan cip serta peningkatan kos komponen.

Beliau berkata, keutamaan pembuat cip yang lebih tertumpu kepada pusat data kecerdasan buatan (AI) berbanding peranti mudah alih turut memberi tekanan kepada industri telefon pintar pada tahun hadapan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat