Ardell Aryana Kongsi Pengalaman Catu Air, Tidur Bergilir Dalam Misi Flotilla ke Gaza

Oleh: Aliyaa Azmi

PELAKON dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana, berkongsi pengalaman getir sepanjang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza apabila terpaksa menggunakan air laut untuk wuduk, membersihkan diri dan menggosok gigi.

Ardell yang juga satu-satunya rakyat Malaysia dan Muslim di kapal kecil bersama sembilan sukarelawan lain berkata, hanya empat liter air bersih disimpan untuk makan dan minum.

“Bekalan makanan makin berkurangan, jadi kami makan dua kali sehari sahaja.

“Kapal kecil ini sering dihentam ribut, tandas hampir rosak dan ruang tidur sempit hingga perlu bergilir. Solat pun dilakukan berdiri,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok malam kelmarin.

Tambahnya, meskipun berdepan cabaran fizikal dan mental, dia tetap reda serta kekal fokus untuk sampai ke Gaza. Ardell turut mendedahkan sebelum ini kapal dinaikinya pernah dikesan dron pengintip, menyebabkan semua sukarelawan terpaksa bergegas ke dek atas mengikut arahan kapten.

Ardell yang berlepas bersama delegasi Malaysia pada 28 Ogos lalu memohon doa rakyat agar keselamatan mereka terjamin sehingga tiba di Gaza.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat