Ardell, Haikal Dirawat Di Hospital Istanbul Selepas Dikasari Tentera Zionis – Peguam CENTHRA

KUALA LUMPUR: Dua aktivis Malaysia, Ardell Aryana dan Haikal Abdullah yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini sedang menerima rawatan lanjut di sebuah hospital di Istanbul selepas didakwa dikasari oleh tentera Zionis ketika ditahan.

Memetik laporan Buletin TV3, perkara itu disahkan oleh Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin yang memaklumkan kedua-dua aktivis berkenaan mengalami kecederaan dan tekanan fizikal susulan kekejaman rejim Israel.

“Ardell memaklumkan beliau mengalami tekanan darah rendah selepas insiden pemintasan.

“Rambutnya ditarik dan beliau turut ditumbuk di muka. Mungkin disebabkan itu keadaannya agak lemah.

“Haikal pula mendakwa dipijak di bahagian tangan oleh tentera Zionis hingga menjejaskan beberapa jarinya. Beliau kini memerlukan rawatan lanjut,” katanya.

Selain Ardell dan Haikal, Fahmi turut memaklumkan beberapa aktivis lain turut menjadi mangsa kekasaran rejim Zionis termasuk PU Rahmat, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.

Namun katanya, mereka berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di Turkiye pada Sabtu.

Fahmi berkata, CENTHRA akan mengambil keterangan semua aktivis Malaysia sebaik mereka pulang ke tanah air bagi mendokumentasikan pengalaman serta bukti kekejaman yang dialami ketika ditahan.

“Keterangan itu akan merangkumi pengalaman mereka di atas kapal, semasa ditahan, hingga proses pembebasan dari Penjara Ketziot.

“Semua kronologi berkaitan penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan akan didokumentasikan,” jelasnya.

Tambah Fahmi, sekiranya bukti mencukupi, CENTHRA bercadang untuk memfailkan aduan rasmi kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi memberi tekanan antarabangsa terhadap Israel.

“Jika tekanan antarabangsa berjaya diwujudkan, tindakan susulan termasuk siasatan dan pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh diambil,” tegas beliau.

Anda Mungkin Berminat