KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan Manchester United tumbang 0-1 di tangan ASEAN All-Stars dalam aksi Maybank Challenge Cup 2025.
Di hadapan lebih 72,500 penyokong, pasukan bintang serantau itu membuktikan mereka bukan sekadar pencabar biasa apabila berjaya menundukkan gergasi Liga Perdana Inggeris.
Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-70, apabila Maung Maung Lwin menyempurnakan hantaran cantik daripada Adrian Segecic yang seterusnya menggamatkan stadium dengan sorakan peminat tempatan.
Turut hadir menyaksikan perlawanan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat mengenakan jersi ASEAN All-Stars dengan jaket Manchester United, sekali gus melambangkan semangat kesukanan antara dua pihak.
Selepas wisel penamat, beliau berbesar hati menyampaikan trofi kemenangan kepada pasukan ASEAN All-Stars.
Aksi ini bukan sekadar perlawanan persahabatan tetapi menjadi bukti bahawa bakat bola sepak serantau mampu memberikan saingan kepada kelab-kelab besar dunia.
Manchester United kini akan meneruskan jelajah pasca musim mereka ke Hong Kong bagi perlawanan seterusnya pada 30 Mei.