Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: ASEAN dan Turkiye sepakat untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang utama termasuk keselamatan politik, perdagangan dan ekonomi digital, pendidikan, pengurusan bencana serta pembangunan mampan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, komitmen bersama itu berpandukan Dokumen Bidang Kerjasama Praktikal (PCA) 2024-2028 yang menggariskan hala tuju jangka panjang dan kerjasama berpandangan ke hadapan.
“Malaysia sendiri bersedia mengembangkan kerjasama dalam industri pertahanan dan pemindahan teknologi, manakala kepakaran Turkiye dalam pentadbiran elektronik mampu menyokong integrasi digital serta mempelbagaikan rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Trilateral antara Malaysia, Sekretariat ASEAN dan Turkiye, yang berlangsung sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, di sini,hari ini.
Mesyuarat turut dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Dalam bidang ekonomi, Mohamad berkata kerjasama menerusi Forum Perniagaan dan Pelaburan Turkiye-ASEAN serta sokongan terhadap pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menyokong pertumbuhan ekonomi serantau.
Beliau turut menyambut baik inisiatif sosio-budaya seperti Program Biasiswa Bersama Turkiye-ASEAN, latihan diplomat ASEAN dan cadangan kerjasama dalam pendidikan teknikal dan pembangunan kemahiran digital, yang diyakini mampu mempererat hubungan antara rakyat serta memupuk persefahaman silang budaya.

“Malaysia percaya nilai-nilai bersama antara ASEAN dan Turkiye menjadikan kedua-duanya rakan semula jadi dalam memperjuangkan multilateralisme, keamanan, kestabilan dan keadilan di peringkat global,” ujarnya.
Menyentuh isu konflik global, Mohamad menegaskan bahawa semua pihak perlu bersatu menyokong penyelesaian damai dan adil terhadap penindasan yang berterusan di Gaza.
“Kita mesti menuntut agar Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa. Impuniti ini hanya akan terus menggugat kestabilan serantau dan global,” katanya.
Baca juga: