PETALING JAYA: Tuduhan yang dilontarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohaimi Wan Daud terhadap kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Kelantan mengenai isu keselamatan di negeri itu disifatkan sebagai tidak wajar oleh ADUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri.
Sebagai seorang pemimpin dan peguam, Mohd Azmawi menegaskan bahawa Wan Rohaimi seharusnya memahami konteks ucapan yang dibuat.
“Saya menjadi saksi mendengar bait ucapan perbahasan Diraja DUN Kelantan semalam, jelas bahawa Wan Rohimi Wan Daud telah membuat tuduhan kepada Ketua Polis Negeri dan Timbalan Ketua Polis Negara dengan menyifatkan pendedahan mengenai masalah sosial di Negeri Kelantan adalah berkaitan PRK Ayer Kuning yang bakal diadakan Sabtu ini.
“Amat mustahil bagi beliau (Wan Rohaimi) untuk tidak tahu apa itu maksud Doktrin ‘Separation Of Power’ (Doktrin Pengasingan Kuasa) yang diamalkan di Malaysia dan amat tidak wajar untuk mengaitkan tugas Ketua Polis Negeri dengan sebarang motif politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, dalam perbahasan Titah Diraja Dewan Undangan Negeri Kelantan, Wan Rohaimi turut mendakwa kenyataan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengenai pempengaruh usahawan kosmetik sebagai ketua sindiket jual dadah tidak disokong oleh fakta dan data.
Selain itu, beliau juga mempersoalkan dakwaan Wan Rohimi bahawa kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, yang didakwa sebagai cubaan untuk melagakan beliau dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mohd Azmawi berkata, tuduhan keras terhadap penjawat awam seperti itu adalah tidak wajar.
“Kesimpulannya, Wan Rohimi sendiri ibarat seorang anak kecil ‘menghantukan kepalanya sendiri ke dinding’ tanpa ada orang yang menyuruhnya,” katanya lagi.