Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Obor paralimpik baru sahaja dipadam, menunjukkan berakhirnya Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan penat lelah atlet yang telah berjuang sehabis baik.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh melalui satu hantaran di Facebook berkongsi momen perjumpaan bersama-sama dengan atlet para yang kalah sejurus selepas sesuatu pertandingan yang mereka sertai.
Malah beliau sendiri memberikan dorongan agar atlet para negara tidak berasa kecewa dan putus asa dengan keputusan yang diperoleh.
“Setiap kali saya bertemu dengan mereka, saya akan tanya soalan spesifik supaya saya memahami keperluan mereka dan penambahbaikan yang diperlukan.
“Ada yang meminta maaf kerana mereka terlalu ‘nervous’ (gugup) sehingga tidak dapat melakukan ‘personal best’ mereka.
“Ramai atlet para 18 daripada 30 orang kali pertama ke Sukan Paralimpik 2024,” katanya.

Hannah turut menzahirkan harapan pada temasya sukan akan datang yang turut bakal menampilkan lebih ramai atlet pelapis yang baru dan mempunyai peluang memenangi pingat yang lebih banyak.
“Yang belum berjaya hari ini, mereka merupakan pelaburan sukan Paralimpik LA2028. Atlet para perlu mengatasi pelbagai cabaran peribadi untuk mewakili Malaysia di pentas dunia.
“Atlet para istimewa dan luar biasa. Majlis Sukan Negara Malaysia akan terus usahakan yang terbaik untuk mereka,” katanya lagi.
Baca juga: