Audit Kewangan Sentiasa Dibentang, Dakwaan Gagal Adalah Tidak Benar – FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil menafikan dakwaan bahawa badan induk itu gagal membentangkan laporan audit kewangan sejak tahun 2016, sambil menegaskan komitmen terhadap integriti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan.

Dalam kenyataan media, FAM berkata, laporan kewangan yang diaudit sentiasa dibentangkan pada setiap Kongres Tahunan termasuk laporan terkini bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 yang telah dibentangkan pada Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026, Khamis lalu.

“FAM sentiasa membentangkan Laporan Kewangan yang Diaudit dalam setiap Kongres Tahunan selaras dengan peruntukan Statut FAM,” kata kenyataan itu.

Setiap laporan kewangan tahunan, jelas FAM, wajib melalui proses semakan dan kelulusan di peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan serta Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) sebelum dibawa ke kongres untuk kelulusan muktamad.

Malah katanya, selain juruaudit tempatan, laporan kewangan turut diaudit setiap tahun oleh juruaudit Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), memandangkan FAM menerima dana daripada kedua‑dua badan induk tersebut.

Sejurus mendapat kelulusan kongres, laporan berkenaan dihantar secara rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) melalui sistem MyKBS bagi tujuan kelulusan.

FAM turut memperjelaskan isu berkaitan pembentangan bajet tahunan.

Bagi tempoh 2020 hingga 2022, bajet tidak dibentangkan dalam kongres kerana tiada peruntukan statut, namun tetap disemak dan disahkan di peringkat jawatankuasa serta EXCO.

Selepas statut dipinda pada 2023 mengikut cadangan FIFA, bajet sepatutnya dibentangkan dalam kongres.

Bagaimanapun, FAM mengakui berlaku kekhilafan dalam pelaksanaan bagi tahun 2023, 2024 dan 2025.

“FAM mengakui terdapat kekhilafan dalam pelaksanaan pembentangan bajet tahunan berkenaan bagi tahun 2023, 2024 dan 2025,” jelas kenyataan itu.

FAM berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan komited untuk memastikan proses pembentangan bajet kembali teratur mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Sebagai bukti tadbir urus telus, FAM menyenaraikan pencapaian termasuk penarafan lima bintang daripada Pesuruhjaya Sukan selama lima tahun berturut‑turut (2018–2022) serta pengiktirafan di peringkat Asia apabila menerima Anugerah Dream Asia AFC 2019 kategori Inspirasi (Gangsa) dan diangkat sebagai antara tiga persatuan bola sepak terbaik Asia dalam kategori pembangunan akar umbi pada Anugerah AFC ke‑29 di Riyadh tahun lalu.

FAM kesal dengan cubaan pihak tertentu menimbulkan persepsi negatif tanpa menyemak fakta sahih.

“FAM akan terus komited menjaga nama baik bola sepak negara melalui pengurusan yang telus, berintegriti, dan sentiasa bersedia menambah baik sebarang kelemahan,” tegas kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat