AWAS ganti kamera AES di NKVE

Oleh: Farah Faizal

TULAR di media sosial gambar-gambar objek berbentuk tiang hitam yang dipercayai kamera oleh orang awam.

Tekaan itu tepat, kamera tersebut merupakan kamera AES di lebuhraya baru Lembah Klang (NKVE) menghala KLIA (kedua-dua arah) dan telah dinaik taraf kepada kamera Automatic Awareness Safety System (AWAS) yang baru.

“Tidak seperti kamera AES lama yang digunakan untuk penguatkuasaan had laju sahaja dan hanya menghadap satu arah, kamera baru ini mempunyai kemampuan pengawasan 360 darjah dan juga boleh digunakan untuk tujuan lain seperti penguatkuasaan lampu isyarat dan pusingan U illegal.

“Dan kerana sistem ini berdasarkan struktur modular, sistem wi-fi awam juga boleh ditambah dan ia juga boleh digunakan untuk menghantar isyarat wi-fi,” kata sumber tersebut baru-baru ini.

Ujarnya, kamera AWAS dikatakan bersifat inovatif kerana kelihatan seperti tiang hitam biasa yang tidak mempunyai fungsi dan pengguna tidak akan menyedari kewujudan kamera tersebut.

Difahamkan, kamera AWAS itu dibekalkan oleh Ekin dan telah memenangi Anugerah Inovasi Jerman 2022.

Pada 6 Jun 2023, kerajaan telah bercadang untuk menambah beberapa lagi kamera AWAS di beberapa kawasan tertentu.

Keputusan penambahan kamera yang dahulunya dikenali Automated Enforcement System (AES) itu adalah mengikut keperluan dalam jangka masa panjang.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, hal ini kerana kajian yang dijalankan oleh Institusi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati pengguna sangat mematuhi peraturan tersebut.

Tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan had laju dan isyarat lalu lintas di lokasi kamera mencecah 99 peratus.

Tambahnya, penguatkuasaan kamera AWAS ini bukanlah bertujuan untuk memerangkap pengguna jalan raya, sebaliknya ia adalah untuk memastikan pengguna sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Anda Mungkin Berminat